Di sini diperturunkan temubual eksklusif bersama adik Maryam Fatini Mohd Zabudin (MFMZ) yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM walaupun baru berusia 15 tahun. Beritanya ada dipaparkan dalam posting yang lalu. Untuk adik-adik Skuad Waja, bolehlah mengambil panduan dan nasihat dari sahabat-sahabat yang boleh dijadikan role-model. Kita ikuti temubual tersebut;
JPR : Assalamualaikum Atin, terima kasih kerana sudi ditemubual dan berkongsi pandangan dengan JPR untuk panduan bersama ahli-ahli Skuad WaJA lain.
MFMZ : Waalaikumussalam... terima kasih kembali.
JPR : Ceritakan sikit tentang diri adik...
MFMZ : Saya merupakan anak ketiga dari empat orang adik-beradik, tinggal di Lorong Kekabu, Seberang Baroh Kiri, Kuala Terengganu. Dilahirkan pada 12 Disember 1992 di HKT. Ayah saya, Mohd Zabudin Malik dan ibu saya Wan Aminah Wan Muda merupakan guru.
JPR : Pendidikan?
MFMZ : Saya mengambil UPSRI di Madrasah Darussalam pada tahun 2002, PMR di SMA Khairiah pada tahun 2005 dan SPM di SMKA Sheikh Abdul Malek pada 2007.
JPR : Apa panggilan di kalangan kawan-kawan, ahli keluarga dan saudara mara?
MFMZ : Di kalangan keluarga & saudara mara : kakak, kak aten, aten, fatin. Kalau kawan-kawan ada yang panggil maryam, yam dan Cik Yam. Setakat ni belum ada yang panggil maffafesea....(alamat email beliau)
JPR : Apakah penglibatan kurikulum dan ko-kurikulum Atin di sekolah dan luar sekolah?
MFMZ : Kalau di sekolah saya menyertai PBSM, PROSTAR, Persatuan Falak Syarie, Persatuan Khat, sikit-sikit bolehla..., Catur, tau gerak jer..., Kawad Kaki, kalau luar sekolah, Skuad WaJA lah kot...
JPR : Adakah Atin rasa rendah diri dengan usia muda ketika mengambil UPSR, PMR dan SPM berbanding kawan-kawan sekolah yang lain?
MFMZ : Tak de la rendah diri, sebab dah terbiasa dari kecik. kawan-kawan pun dah rasa macam sebaya. Kadang-kadang ada jugak terlupa yang diri ini sebenarnya lebih muda berbanding kawan-kawan sekeliling.
JPR : Kami gembira juga bila Atin asalnya dari Madrasah Darussalam, ini membuktikan pandangan bahawa sekolah "jemaah" juga mampu melahirkan pelajar cemerlang walaupun tidak selengkap sekolah kerajaan. Apa pendapat Atin?
MFMZ : tidak dinafikan sekolah jemaah agak kekurangan dari segi infrastruktur dan prasarana, tapi ada yang lebih utama... Sekolah jemaah ni pengajarannya lebih kepada untuk mendisiplinkan pelajar, dengan kurikulumnya yang lebih berteraskan agama, dan kokurikulumnya seperti program tamrin yang diadakan saban tahun. jadi rasanya inilah yang menjadi pegangan pelajar-pelajar. dan, sebenarnya kita dapat lihat sekarang kebanyakan pelajar-pelajar cemerlang sekarang adalah dari sekolah-sekolah yang berlatar belakangkan agama.
JPR : Sebelum keputusan peperiksaan SPM diumumkan, apakah jangkaan Atin? MFMZ : Sebenarnya sampai sekarang pun, masih ada terselit rasa tak percaya dapat keputusan sebaik ini. kalau dulu memang tak boleh dengar langsung orang cakap "result spm", mesti jadi tak tentu arah berdebarnya. tapi boleh kata hampir setiap malam sepanjang penantian yang menyeksakan itu, saya lakukan solat hajat. sebab waktu tu kita hanya boleh berserah pada ALLAH. akhirnya dapat gak macam ni, Alhamdulillah sangat-sangat.
JPR : Bagaimana tabiat pembelajaran Atin?
MFMZ : Terus terng saya cakap, kalau kat rumah saya memang susah nak belajar. Banyak sangat tarikan, internet, tv, novel, komik, macam-macam ada! Jadi saya pun ambil keputusan untuk balik dari sekolah agak lewat untuk focus study. Lagipun kawan-kawan ada jugak yang stay back. Jadi kalau ada masalah boleh terus tanya. Yang keduanya, banyak buat soalan. Sebab bagi saya kalau buat soalan ni kita akan tau apa yang kita tak tahu dan tau apa yang kita tak faham. Jadi biasanya sebelum ulangkaji satu-satu tajuk, saya akan buat latihan berkenaan tajuk tu dulu. Saya ada juga buat nota ringkas dan letakkan bawah plastik meja kat sekolah. Senang nampak dan ingat. Saya jugak suka tanya cikgu selain kawan-kawan. Sebab cikgu kan boleh jawab dengan tepat apa yang kita tak faham. Lagipun, cikgu akan lebih kenal kita berbanding kawan-kawan yang lain. Jadi secara logiklah, kalau masa cikgu mendoakan anak-anak muridnya, berkemungkinan besar cikgu tersebut akan bayangkan kita, tak gitu? Tapi kalau ada kawan-kawan nak pergi jmpa cikgu, biasanya saya akan ikut sekali, boleh tau jugak apa yg cikgu cakap. Lagipun saya ni bukan boleh duduk diam dalam kelas kalau cikgu tak ada. Habis kawan-kawan nak kacau. Bosan... jadi dari kacau orang lain, baik gi jumpa cikgu kan...
JPR : Adakah Atin mengamalkan sebarang pantang-larang atau petua dalam belajar dan dalam pemakanan?
MFMZ : Tengah belajar mestilah kena jaga makan. Elakkan makanan yang boleh membahayakan kesihatan badan dan minda. Contohnya, makanan ringan, air yang ada semut, dan sebagainya. Banyakkan makan makanan yang boleh mencerdaskan otak seperti kismis, madu dll. Lebih-lebih lagi masa tahun nak periksa besar. Duduk mesti tegak masa belajar. Baru susah sikit nak ngantuk, nak-nak kalau dalam kelas. Tempat belajar mesti kemas, bersih, selesa dan ada aliran udara dan cahaya matahari. Molekul air boleh berubah dengan perkataan yang didedahkan padanya, so ada kawan cakap, dedahkan air tu masa cikgu tengah mengajar, pastu minum. Ni tak tau la betul ke tak. Agaknya kalau dedah masa add math, jadi macam formula add math ker? Satu cara nak kuat ingatan, diajar oleh seorang ustaz...masa nak tidur try recall balik semua perkara yang kita buat sepnjang hari, sambil-sambil tu boleh muhasabah diri kan? Tapi, kalau rujuk kat mana-mana pelajar cemerlang pun petua diaorang sama je. Cuma nak buat ke tak nak jer. Kalau boleh, tiap-tiap malam lepas belajar, buat solat hajat mintak dilekatkan dalam kepala apa yang kita belajar. Lepas tu kalau kita ada hajat yang betul-betul kita nak, lakukan solat hajat 12 rakaat, insyaAllah dimakbulkan. Kalau boleh lagi, buat nazar ikut kemampuan kita. Pastu kalau dapat benda yang dihajatkan jangan lupa bayar pulak...
JPR : Bagaimanakah bentuk hiburan yang Atin suka?
MFMZ : Al-Quran pun satu jenis hiburan. Kalau nak hiburkan diri di kala susah hati bacalah Quran banyak-banyak sebab ia adalah penawar. Kalau yg lain-lain tu macam-macam la. Tengok kartun, baca komik, dengar lagu, baca novel. Tapi kalau lagu depend juga. Kadang-kadang ada gak lagu nasyid yang tak minat sebab lebihkan cinta duniawi, dan ada juga lagu-lagu biasa yang diminati sebab ia bawa meaning yang bagus. Tapi first nak minat lagu, kena best la kan...
JPR :Adakah adik mengikuti sebarang bentuk kelas bantuan/bimbingan tuisyen luar?
MFMZ : Saya memang ikut tusyen sebab bagi saya la kan, kita nak timba ilmu biarla dari banyak cikgu. Sebab kadang-kadang cikgu-cikgu ni pengetahuan diaorang tak sama. Pastu kalau kita tak boleh catch up kat skolah, kita still ada 'backup'. Lagipun kat tuisyen bukan semuanya dari sekolah yang sama, jadi kadang-kadang ada cikgu ajar lebih dari cikgu kita ajar. Jadi sumber kita tak terhad.
JPR : Ada beberapa golongan pelajar pada zaman kini, apa pendapat Atin tentang golongan pelajar bermasalah sosial.
MFMZ : Nak bagi pendapat.... sikit-sikit boleh la ye; Pada pandangan saya la, pelajar-pelajar ni kebanyakannya adalah pelajar yang kurang dari segi didikan agama dan moral. Mereka rasa muda hanya sekali, so kena ambil kesempatan untuk rasa segalanya. Ibubapa, guru, dan masyarakat perlu beri perhatian lebih kepada pelajar-pelajar seperti ini, tapi yang paling penting adalah kesedaran daripada diri pelajar itu sendiri. Kerana itu, didikan yang betul mestilah diberi sejak kecil lagi.
JPR : Prinsip hidup Atin?
MFMZ : Mesti sentiasa ada keinginan untuk jadi lebih daripada orang lain, dan mesti lakukan apa yang perlu untuk jadi lebih daripada orang lain.
JPR : Pemimpin yang Atin kagumi dan kenapa?
MFMZ : Saya kagum dengan setiap pemimpin yang berjaya menginspirasikan orang yang mereka pimpin untuk menjadi lebih hebat atau setaraf dengannya dengan berlandaskan agama dan meransang masyarakat kearah kemajuan dari segala aspek.
JPR : Biasanya pelajar-pelajar cemerlang cenderung memilih negara barat sebagai destinasi menyambung pelajaran terutamanya dalam bidang perubatan, tapi kami difahamkan Atin memilih untuk menyambung pelajaran ke Mesir, kenapa?
MFMZ : Memang telah menjadi impian saya sejak lama untuk menjejakkan kaki di bumi Mesir. Di Mesir terletaknya Universiti Al-Azhar yang merupakan antara universiti tertua dan terkenal dengan kehebatannya dalam menyampaikan ilmu kepada penuntut-penuntutnya, (tapi belum pasti dapat masuk ke Azhar walaupun dihantar ke Mesir), lagipun di Mesir, agama islamnya lebih kuat berbanding negara-negara barat dan masalah sosialnya tidaklah seteruk di negara-negara barat. Jadi, saya rasa diri kita akan lebih terjaga apabila berada di bumi anbia' tersebut.
JPR : Apa pandangan Atin mengenai Skuad Waja?
MFMZ : Pada pandangan saya, dari segi aktiviti ia sangat-sangat bagus dalam memberi input yang membawa faedah kepada adik-adik kita dengan memupuk semangat dan jati diri mereka dan membantu mereka mengisi kekosongan masa lapang dengan mengadakan program-program seperti ini.
JPR : Boleh berikan nasihat/pesanan buat sahabat-sahabat Skuad Waja?
MFMZ : Buat sahabiah....Hidup perlukan perjuangan. Untuk yang masih belajar, ingat, belajar amat-amatlah penting. Kita sebagai pewaris bangsalah yang bakal mencorakkan negara kita. Jika kita memandang remeh perkara ini, negara kitalah yang akan hancur. Ingatlah Allah sentiasa dan sentiasa berlumba untuk jadi yang terbaik...
JPR : Terima kasih adik, moga-moga cita-cita adik tercapai.
MFMZ : Sama-sama, good luck buat semua geng Skuad WaJA...
Ahli Jawatankuasa Jabatan Pembangunan Remaja Negeri Terengganu mengucapkan jutaan terima kasih buat Adik Maryam Fatini Mohd Zabudin atas kesudian ditemubual untuk blog Skuad WaJA. Moga-moga mutiara kata yang disampaikan dapat memberi sesuati buat rakan-rakan lain, dan untuk Adik Maryam Fatini, moga-moga adik berjaya dunia dan akhirat.
0 comments:
Post a Comment