RSS
email

SELAMAT DATANG

PROGRAM PERKADERAN REMAJA ISLAM

PROGRAM PERKADERAN REMAJA ISLAM

Berdialog Tentang Muzik dan Seni dengan Pemuda PAS

Dialog anjuran musicForum (Gambar oleh musicForum)

"MINTA maaf ya, ustaz, saya ada pengakuan," kata saya. "Dalam kolum saya, teruk juga saya tibai ustaz tentang pendirian Pemuda PAS berkenaan konsert Michael Learns to Rock."

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan at Tantawi, senyum selamba saja. "Saya tak ambil hati. Kalau macam tu, Datuk Zaid Ibrahim pun mengkritik kami juga." Rakan-rakan Nasrudin dari Pemuda PAS tersenyum dan mengangguk-angguk.

Dengan itu, dialog anjuran musicForum antara saya dan Nasrudin bermula. Ia melihat penglibatan kira-kira 30 orang muda-mudi Melayu Islam yang lain. Masanya lepas solat terawih, dan tarikhnya 2 Sept 2009. Tempatnya di Studio Poket, Pusat Bandar Puchong Utama. Tajuknya, Di mana muzik dalam politik Islam?.



Dengan ikhlas saya mengaku, saya berdebar-debar juga mahu berhadapan dengan Nasrudin. Akan tetapi, walaupun moderator dialog tersebut, Fathi Aris Omar, memperkenalkan saya sebagai seorang pemuzik dan anggota bersekutu Sisters in Islam (SIS), Nasrudin dan kawan-kawannya tidak terkejut. Malah, tidak seorang pun yang memperlekehkan atau mengutuk SIS seperti yang saya biasa lihat di pelbagai blog dan siaran akhbar.

Saya sebenarnya dijemput oleh pihak penganjur sebagai seorang pemenang Anugerah Industri Muzik, jadi bab keanggotaan SIS saya memang tidak masuk tajuk pun. Saya diminta membuka tirai dialog tersebut, jadi saya mengupas pendapat imam al-Ghazali. Menurut al-Ghazali, kesenian itu sebenarnya merupakan kurniaan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Ia menghidupkan jiwa kita untuk kita lebih menghayati keindahan ciptaan Allah. Ini termasuklah bidang muzik dan tarian. Dan inilah yang mendorong saya untuk berkarya sebagai seorang artis beragama Islam.

Saya juga mengupas dua hadis sahih daripada saidatina Aishah, di mana Rasulullah sendiri telah membenarkan Aishah untuk berhibur dan menonton persembahan tarian dan nyanyian. Malah, apabila saidina Abu Bakar menegur penghibur-penghibur tersebut sebagai "serunai syaitan", Rasulullah sendiri berkata, "Biarkan mereka — bukankah ini hari perayaan?"

Malah, belum terdapat ijma yang benar-benar kukuh tentang hukum muzik dalam Islam. Ada ulama yang berkata hanya nyanyian suara saja yang dibenarkan, ada yang berkata hanya instrumen tidak bertali yang dibenarkan, tetapi ada juga yang berkata kesemuanya dibenarkan bergantung kepada niat dan mesej yang terkandung dalam karya muzik tersebut.

Pendirian PAS

Kemudian, pihak Nasrudin dan pemuda PAS yang lain pula memberikan hujah mereka. PAS tidak anti-kesenian. PAS bukan anti-muzik, malah bukan anti-konsert. PAS hanya menentang bentuk-bentuk hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan, dan yang menggalakkan pergaulan bebas yang boleh membawa kepada pelbagai jenis kemudaratan yang lain.

"Saya faham pendirian PAS sebagai sebuah parti Islam," saya membalas. "Tetapi kenapa PAS tidak terangkan saja kepada masyarakat umum pendirian seperti ini? Bukankah itu dakwah PAS? Kenapa respons pertama daripada PAS selalunya menjurus kepada mengharamkan sesuatu yang PAS tidak suka?"


Dari kiri ke kanan: Penulis artikel Shanon Shah, moderator Fathi Aris Omar , dan ketua Pemuda PAS Nasrudin
(Gambar oleh Chris Chong Chan Fui)

Panjang lebar juga jawapan yang diberikan oleh pihak pemuda PAS, tetapi akhirnya naib ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof, tersenyum dan berkata, "Kami pun sentiasa mengalami evolusi dalaman. Kami pun sedang berusaha."

Banyak juga soalan kritikal yang ditujukan kepada PAS oleh mereka yang hadir. Contohnya, insan atau institusi mana yang berkuasa untuk menentukan apa itu "bermoral" dan apa itu "tidak bermoral"? Bukankah pihak berkuasa Islam juga pernah menggunakan alasan "moral" untuk mematahkan sentimen yang mengkritik kerajaan? Apakah PAS tidak mampu bertolak-ansur?

Di sini saya sendiri telah memetik pengalaman Yusuf Islam, yang pernah membuat persembahan dalam konsert HIV/AIDS di Afrika Selatan. Para penghibur lain di konsert tersebut banyak juga mempromosi pendekatan "sekular" untuk menangani HIV/AIDS, tetapi Yusuf Islam tetap berkongsi pentas dengan mereka.

Tetapi sekali lagi saya ingin tekankan keindahan dan keikhlasan dalam dialog antara saya dan Nasrudin. Sepertimana difirmankan Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 125: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." Nasrudin dan saya memang berbahas dengan baik dan manis.

Erti dialog

Tetapi "berdialog" bukannya bererti "tumbang dan setuju seratus-peratus dengan pihak lain". Apabila mengakhiri sumbangan saya terhadap dialog tersebut, saya menekankan lagi sekali bahawa saya tidak bersetuju dengan pendirian PAS. Saya bersetuju dengan hak PAS untuk bersuara dan berdakwah, dan juga menghormati hujah-hujah yang dikemukakan.

Saya berikan analogi ini kepada pihak Pemuda PAS. Sekarang ini pihak Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis hak asasi banyak mengecam akta-akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Tapi mungkin satu hari kelak, PAS akan mendapat mandat untuk memerintah negara ini dan akan meluluskan undang-undang hudud. Apakah PAS akan membenarkan bantahan terhadap undang-undang hudud oleh pihak pembangkang, artis, wartawan dan aktivis? Apakah PAS akan akur jika sebilangan besar rakyat tidak mahukan undang-undang hudud?

Menurut Nasrudin, sudah tentu PAS akan mendengar suara rakyat. Katanya lagi, "Kami berpegang kepada prinsip yang didukung oleh khulafa ar-rashidun. Kalau kami betul, sokonglah kami. Kalau kami salah, perbetulkanlah kami."

Bagi saya, jawapan ini masih perlu dilihat dalam konteks sosio-politik tanahair secara keseluruhan. Sejak 8 Mac 2008, kredibiliti BN semakin merosot, dan pada masa yang sama saham PR semakin naik. Malah, rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam pun sudah sanggup mengundi PAS demi menjatuhkan kerajaan BN. Dan tidak dapat dinafikan, kerajaan BN juga menggunakan pelbagai taktik kotor dan ganas untuk kekal berkuasa — lihatlah saja rampasan kuasa di Perak, penggunaan meriam air dan gas pemedih mata terhadap demonstrasi anti-ISA, dan sebagainya.

Dalam situasi kini, PAS dan rakan-rakan PRnya sudah nyaris-nyaris menawan puncak kuasa. Dan dalam keadaan seperti ini, memang mudah untuk mana-mana pemimpin politik dari kalangan mereka membuat pelbagai janji manis. Akan tetapi, kita juga perlu menumpukan perhatian kepada pendirian lain yang dibawa oleh parti komponen PR.

Dalam kes PAS, kita perlu mengkaji pelbagai kenyataan para pemimpinnya tentang isu hukuman sebat, pelaksanaan undang-undang hudud, isu pertukaran agama kanak-kanak, pihak yang tidak bersetuju dengan tafsiran Islam PAS, dan juga mazhab minoriti seperti golongan Ahmadiyah. Apakah pendirian PAS dalam isu-isu ini konsisten dengan sistem demokrasi dan masyarakat madani yang ideal?


Menyuarakan pendirian masing-masing (Gambar oleh Chris Chong Chan Fui)

Kesanggupan kita untuk berdialog bukannya bererti kita berhenti bersifat kritikal antara satu sama lain. Selagi kita bersikap kritikal, selagi itulah masyarakat kita akan menikmati satu sistem semak dan imbang yang kukuh dan berprinsip. Dan selagi itulah kita akan dapat mencari jalan penyelesaian yang benar-benar menghormati perasaan dan pendirian semua pihak yang terlibat.

Oleh itu, amatlah penting jika PAS terus menyuarakan pendiriannya tentang pelbagai isu, dan berikhtiar untuk menyebarkan ideologinya di kalangan umum. Sumbangan PAS terhadap perkembangan demokrasi tanahair kita sangatlah besar. Akan tetapi, kita yang lain pun perlu menyuarakan pendirian kita dan menyumbang kepada perbincangan umum tentang pelbagai isu kemasyarakatan.

Kesimpulannya, kita masing-masing mengidamkan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup ini. Pada penghujung dialog saya dengan Nasrudin, kami saling berpeluk dan bersalaman. Saya dapat merasakan keikhlasannya dan saya pasti dia juga dapat merasakan keikhlasan saya. Hakikatnya kami tidak bersetuju dalam beberapa hal, tetapi hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya .-The Nut Graph

***Shanon Shah penulis artikel ini, amat berbesar hati kerana dapat berbual, bergurau dan makan sekali dengan kepimpinan Dewan Pemuda PAS.

Bookmark and Share

0 comments: